Sunday 23 September 2012

Pendidikan kesihatan dalam masyarakat bertujuan untuk membantu individu dalam masyarakat mengaplikasikan prinsip-prinsip kesihatan yang betul dan mengamalkan dalam segala aspek kehidupan seharian. Pelbagai aktiviti dan medium boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat berkaitan dengan kepentingan kesihatan di dalam kehidupan.


Berdasarkan kenyataan di atas, bincangkan aktiviti dan medium yang boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat pendidikan kesihatan kepada masyarakat. Nyatakan juga contoh- contoh yang sesuai.



Pendidikan kesihatan merupakan satu wadah yang memberikan panduan dalam melaksanakan pengajaran dan program Pendidikan Kesihatan kepada masyarakat. Pendidikan kesihatan membantu individu dalam sesebuah masyarakat itu mengaplikasikan prinsip- prinsip kesihatan yang betul dan tepat dalam kehidupan seharian mereka. 

Pendidikan kesihatan ini dijalankan melalui aktiviti- aktiviti agensi Kementerian Kesihatan, agensi- agensi kesihatan sukarela, sekolah, organisasi remaja dan kumpulan masyarakat lain.  Menurut Zarina Law Abdullah dan Abdul Latif Ahmad (2009), pendidikan kesihatan boleh disampaikan kepada masyarakat melalui ;
  • Kaunseling Individu
  • Pengajaran Berkumpulan
  • Penggunaan Media Massa
  • Program Tindakan Komuniti
  •  Pendidikan Kesihatan Tidak Formal
Penyampaian pendidikan kesihatan melalui aktiviti- aktiviti dan medium yang disenaraikan di atas membantu seseorang individu itu mengamalkan prinsip-prinsip kesihatan yang betul dalam kehidupan seharian mereka dan seterusnya melahirkan individu yang mementingkan kesihatan dalam kehidupan. 

a )        Kaunseling Individu
Kaunseling individu ini bermatlamat membantu dan mendidik masyarakat berfikir tentang cara mengatasi masalah kesihatan yang dihadapi oleh seseorang individu itu. Kaunseling individu ini dijalankan melalui khidmat nasihat dari pakar- pakar kesihatan seperti doktor, jururawat dan pekerja sukarela.
Menurut artikel dari laman web http://htar.moh.gov.my/modules/content/index.php?id=24, terdapat beberapa perkhidmatan kaunseling individu yang dijalankan melalui Jabatan Kementerian Kesihatan. Antaranya contohnya ialah;

i.                    Klinik Pendidikan Kesihatan & Kaunseling (Kelas Pendidikan Pesakit)

Jabatan Pendidikan Pesakit bertanggung jawab mengurus kelas pendidikan pesakit untuk pesakit, waris, keluarga dan orang ramai. Kelas ini memberikan pengetahuan mengenai penyakit-penyakit seperti Diabetis, Darah Tinggi dan Asma. Tenaga pengajar bertanggungjawab menjelaskan mengenai komplikasi penyakit, rawatan dan sebagainya, dengan adanya kelas ini, di harap pesakit, waris, dan keluarga akan lebih peka dan sentiasa berwaspada dengan penyakit yang dihidapi.

ii.                  Klinik Pendidikan Kesihatan & Kaunseling (Kaunseling Berhenti Merokok)

Klinik ini adalah klinik berhenti merokok, dimana klinik ini bertanggung jawab memberikan khidmat nasihat dan kaunseling juga rawatan secara  terapi modifikasi tingkahlaku dan terapi gantian nikotin (NRT). Klinik beroperasi pada hari Isnin dan Khamis bermula jam 2.00 petang sehingga 5 petang.

b )        Pengajaran berkumpulan
Pengajaran berkumpulan merupakan satu aktiviti yang seringkali dijalankan oleh Kementerian Kesihatan. Pengajaran berkumpulan yang dijalankan ini adalah bagi membantu memahami sesuatu masalah kesihatan dan mencari jalan penyelesaian bagi kebaikan bersama. Pengajaran berkumpulan ini selalunya dijalankan oleh pakar-pakar perubatan bagi membincangkan masalah kesihatan seseorang individu itu sebelum sesuatu keputusan dibuat.


c )        Penggunaan Media Massa

Media Massa merupakan satu medium yang paling berkesan dalam menyampaikan pendidikan kesihatan kepada masyarakat. Ini terbukti apabila Anugerah Media Kementerian Kesihatan telah diperkenalkan bagi mengiktiraf dan menghargai jasa serta sumbangan pihak media dalam membantu menyebarluaskan hasrat dan matlamat Kementerian Kesihatan kepada masyarakat. Penggunaan pelbagai saluran media cetak dan elektronik menerusi hasil penulisan kreatif dan penerbitan bahan audio visual merupakan satu pendekatan yang berkesan dalam menyalurkan maklumat kesihatan kepada masyarakat ( Maklumat diperolehi dari artikel  laman web www.moh.gov.my/MohPortal/DownloadServlet?id=592&type=2.

Melalui media massa, Kementerian Kesihatan dapat menyalurkan maklumat kesihatan kepada masyarakat melalui program- program yang dijalankan. Contohnya seperti Kempen Cara Hidup Sihat, Promosi Pendermaan Organ, Kempen Anti Merokok, Pencegahan Demam Denggi dan lain- lain masalah kesihatan.
Menurut laman web  http://htar.moh.gov.my/modules/content/index.php?id=24,  Jabatan Pendidikan Pesakit di hospital bertanggungjawab menghasilkan dan mengedarkan risalah-risalah dan poster-poster kesihatan ke setiap wad dan jabatan untuk dibaca oleh pesakit, pelawat dan orang ramai. Diantara contoh- contoh risalah yang telah dihasilkan ialah Kempen Berbudi Bahasa, hari Penglihatan Sedunia, Hari Diabetis Sedunia dan Minggu Penyusuan Susu Ibu.

d )        Program Tindakan Komuniti

Program Tindakan Komuniti ini bertujuan untuk memberi peluang kepada semua komuniti yang terlibat mengumpul maklumat, membuat keputusan dalam meningkatkan tahap kesihatan mereka. 

Satu contoh Program Tindakan Komuniti yang pernah dijalankan dan disiarkan dalam laman web http://htjs.moh.gov.my/modules/AMS/article.php?storyid=132 ialah Program Promosi Kesihatan Bersama Pemimpin. Program ini telah dilaksanakan pada 2 Disember 2007 di Kampung seri Mambau, Seremban. Objektif utama program ini ialah untuk mendapatkan sokongan dan kerjasama pemimpin dalam menggalakkan masyarakat mengutamakan kesihatan diri.

Menurut laman web www.moh.gov.my/MohPortal/DownloadServlet?id=592&type=2, bermula tahun 1999, Kementerian Kesihatan telah mempergiatkan kempen kesedaran mengenai pendermaan organ di kalangan masyarakat. Di samping itu, Pertubuhan Bukan Kerajaan juga telah membantu Kementerian Kesihatan melaksanakan kempen menggalakkan masyarakat untuk mendaftarkan diri sebagai pengikrar penderma organ (pledger).

Program- program tindakan komuniti seperti yang telah dijelaskan tadi ternyata merupakan satu medium yang penting dalam penyampaian maklumat kesihatan kepada masyarakat. Galakkan dari pihak pemimpin dan komuniti tertentu menjadi satu dorongan dalam menjaga kesihatan dan menjalani kehidupan yang sihat. 

e )        Pendidikan Kesihatan Tidak Formal

Pendidikan tidak formal adalah pendidikan yang berlaku dalam kalangan ahli masyarakat melalui pergaulan dan komunikasi seharian. Pendidikan kesihatan berlaku di rumah dalam kalangan ahli- ahli keluarga. Ahli- ahli keluarga berkongsi maklumat mengenai kesihatan secara tidak formal dengan ahli keluarga yang lain.
Di luar rumah pula, pendidikan kesihatan berlaku melalui rakan, jiran tetangga dan rakan sekerja tentang isu- isu semasa berkaitan dengan kesihatan. Perkongsian maklumat kesihatan ini berlaku secara sedar atau tanpa disedari dalam komunikasi seharian mereka.




No comments:

Post a Comment