Sunday 23 September 2012

Keselamatan kesihatan persekitaran amat berkait rapat dengan sejauh mana kita berupaya mengawal kadar pencemaran alam sekitar. Oleh yang demikian kita perlu terlebih dahulu memahami dan dapat mengenal pasti apakah dia pencemaran.

Bincang dan kenal pasti punca- punca pencemaran yang memberikan kesan serta memudaratkan persekitaran.

Kesihatan persekitaran meliputi semua aspek kesihatan manusia, termasuklah kualiti hidup yang mana ditentukan oleh faktor- faktor kimia, biologi, sosial dan psikososial dalam persekitaran (WHO, 1993). Keadaan persekitaran dan intergriti bumi yang kita diami mempunyai pengaruh yang besar terhadap keselamatan persekitaran kita. Dewasa ini, terdapat pelbagai pencemaran kesihatan yang  berlaku seperti penghakisan lapisan ozon, penerokaan hutan, perubahan cuaca, perubahan sistem hidrologikal dan banyak bentuk pencemaran lagi. Menurut Moeller (1993), kesihatan persekitaran adalah salah satu cabang kesihatan umum yang mengambil kira penilaian dan pengawalan impak manusia terhadap persekitaran mereka.

Pencemaran boleh ditakrifkan sebagai pembuangan benda-benda atau bahan-bahan hasil dari aktiviti manusia ke alam persekitaran menyebabkan terganggunya keselesaan atau kemandirian kehidupan. Takrifan Pencemaran yang lebih bermaklumat adalah menurut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang menyatakan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik, kimia, biologi atau aras-aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaan-kegunaan berfaedah, yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau organisma-organisma lain, tumbuhan dan haiwan.

 Pencemaran dapat dikategorikan dan disenaraikan kepada pelbagai bentuk pencemaran alam.
  •      Pencemaran udara
  •     Pencemaran air
  •     Pencemaran bunyi
  •     Pencemaran kimia 
  •     Pencemaran radiasi
  
  • Pencemaran udara
Pencemaran udara  berlaku apabila terdapat benda asing dalam kepekatan yang mengganggu atau membahayakan manusia, tumbuh-tumbuhan, binatang dan harta benda. Benda asing ini adalah di dalam bentuk abuk, asap, kabus, wap dan gas (Karbon Monoksida, Nitrogen Oksida, Hidrokarbon, Ozon, Sulfur Oksida ,bau-bauan) ataupun apa-apa campuran bahan-bahan ini.

Menurut artikel dari laman web http://www.azizwan.com/5-tempat-paling-tercemar-di-dunia, kajian menunjukkan bahawa bandar Linfen, China merupakan satu-satunya bandar yang terkotor di China. Perlombongan arang batu adalah aktiviti utama di bandar ini yang mana ianya menyebabkan sulfur dioksida dan karbon monoksida ke udara. Kabus perang adalah pemandangan biasa bagi Linfen. Ianya juga banyak memberi efek terhadap pencemaran udara dan air di bandar ini.

Menurut laman web http://kudeed.tblog.com/post/1969953506, pembangunan tanpa pengurusan yang dirancang boleh membawa kesan buruk yang akan mengancam kualiti alam sekitar. Jumlah kenderaan di seluruh negara meningkat hampir dua kali ganda sejak 1980.Keadaan ini berbahaya kepada alam sekitar kerana karbon dioksida yang dikeluarkan oleh kenderaan menjejaskan kesihatan manusia dan juga menipiskan lapisan ozon.

Punca-punca utama pencemaran udara adalah akibat daripada stesen jana kuasa elektrik, kerja-kerja pembinaan, industri atau kilang, kenderaan bermotor dan pembakaran sampah sarap. Penderaan alam sekitar melalui pencemaran udara timbul akibat daripada tindakan manusia itu sendiri. Setiap manusia menyumbang terhadap kemusnahan alam sekitar. Perokok yang menghembuskan asap ke udara, pembakaran sisa buangan di kawasan perumahan secara tidak terkawal juga membawa kesan kepada pencemaran udara.

  • Pencemaran air
Pencemaran air berlaku apabila perubahan berlaku dari segi kandungan, keadaan dan warna sehingga tidak sesuai dan memberi kesan apabila digunakan. Pencemaran berlaku sama ada dari segi  biologi, kimia dan fizik. Pencemaran air bukan hanya berlaku di sungai tetapi juga di laut dan ianya boleh berlaku secara sengaja atau tidak. Pencemaran ini lebih kepada bahan pencemar dari kilang.
 
Punca utama pencemaran air ini adalah diakibatkan oleh kumuhan dari kilang di mana kebanyakan kumuhan kilang seperti  sisa toksik dibuang atau dialirkan ke sungai atau laut. Sikap manusia juga yang suka membuang bahan buangan seperti sampah, minyak dan najis ke dalam sungai atau laut juga mengakibatkan pencemaran air. Selain daripada itu, aktiviti pertanian untuk penerokaan tanah untuk dijadikan kawasan pertanian menyebabkan hakisan tanah yang mana mengakibatkan mendapan berlaku. Mendapan ini akan mencetekkan sungai dan menjadikan air sungai keruh.

Kesan daripada pencemaran air ini, kesihatan manusia akan terganggu. Bakteria, virus, parasit dan bahan kimia yang terdapat dalam air yang tercemar menjejaskan kesihatan manusia yang menggunakannya. Hidupan laut seperti ikan, siput atau ketam turut terjejas dan mati dengan tumpahan minyak, pembuangan sampah dan sisa toksik.

  • Pencemaran bunyi
Menurut artikel dalam laman web http://kudeed.tblog.com/post/1969953506, menjelaskan bahawa pencemaran bunyi ialah bunyi bising yang keterlaluan sehingga menyakitkan telinga. Pencemaran bunyi biasanya melebihi 80 dB(A) dan pencemaran ini mengikut situasi dan keinginan masing- masing. Pencemaran bunyi boleh diklasifikasikan kepada kebisingan selanjar, kebisingan fluktasi, hentakan impuls dan kebisingan selang- seli.
 
Punca yang menyebabkan pencemaran bunyi ini adalah akibat dari pembangunan kawasan industri. Bunyi yang dikeluarkan melalui pemprosesan material, jentera dan aktiviti pembuatan akan menjejaskan ketenteraman orang ramai dan memberi kesan gelisah, kurang rehat, gangguan pemikiran dan lain-lain. Kuari juga merupakan ejen yang mengakibatkan pencemaran bunyi. Bunyi pemecahan batu, enjin gerudi dan pemunggahan batu ke lori merupakan punca pencemaran ini. Bagi kawasan penempatan baru, bunyi yang dikeluarkan apabila cerucuk-cerucuk besi ditanam di dalam tanah akibat pembinaan bangunan-bangunan tinggi juga mewujudkan ketidakselesaan pada pendengaran.

Pencemaran bunyi ini memberikan kesan yang negatif terhadap kesihatan persekitaran masyarakat di mana akibatnya ia mewujudkan pelbagai penyakit, menyebabkan gangguan produktiviti, gangguan psikologi, hilang imbangan diri, pekak dan ia juga mendatangkan kesan negatif kepada ibu- ibu yang mengandung.
b
  • Pencemaran kimia
Pembangunan industri dan program pertanian yang intensif menyumbang kepada pertambahan kadar pencemaran kimia di seluruh dunia. Penggunaan racun makhluk perosak secara berleluasa di negara- negara membangun menyebabkan pencemaran kimia. Pencemaran ini merupakan satu ancaman baru kepada manusia dan persekitaran. 

Pencemaran kimia ini boleh dibahagikan kepada tiga pencemaran iaitu pencemaran racun makhluk perosak, pencemaran raksa dan pencemaran arsenik dan florida. Menurut Zarina Law Abdullah dan Abdul Latif Ahmad (2009), penggunaan racun makhluk perosak yang tidak mengikut prosedur yang betul dan disebarkan ke persekitaran oleh manusia menyebabkan pencemaran terhadap udara, sungai, sumber air bawah tanah, tanah, tumbuhan dan makanan. Racun kimia ini mengancam kesihatan manusia melalui pernafasan, minuman, makanan dan melalui penyerapan pada kulit. Organoklorin yang hadir di dalam susu ibu semasa penyusuan bayi akan mengancam kesihatan bayi. Selain dari itu, racun kimia ini juga akan menjejaskan proses pertumbuhan dan perkembangan kanak- kanak. 

Pencemaran kimia yang disebabkan oleh raksa biasanya wujud di air, udara, tanah dan makanan dalam jumlah yang amat kecil. Walau bagaimanapun, apabila air dicemari oleh sebatian raksa organik maka ia turut mencemari hidupan di dalamnya seperti ikan, udang, sotong dan lain-lain. Hidupan ini yang telah dicemari ini akan memudaratkan kesihatan manusia jika dimakan oleh manusia. Ini adalah kerana raksa boleh menyebabkan gangguan terhadap pertumbuhan otak manusia, memudaratkan janin bayi, menyebabkan barah dan kerosakan pada perut dan paru- paru.

Kajian menunjukkan bahawa negara Russia mempunyai pencemaran kimia yang paling teruk di dunia. Ini terbukti dengan laporan kajian dari laman web http://www.azizwan.com/5-tempat-paling-tercemar-di-dunia yang menunjukkan bahawa Dzerzhinsk, Russia  mempunyai populasi 300 000 orang dan ianya hasil dari pencemaran “Senjata Kimia” Perang Dingin antara US dan USSR. Bandar ini merupakan tempat pengilangan dan simpanan terbesar Senjata Kimia tentera USSR. Toxic kimia merebak keseluruh sistem pengairan menyebabkan kadar kematian yang tinggi dihadapi penduduk Dzerzhinsk.

  •   Pencemaran radiasi
Pencemaran radiasi merupakan satu bentuk pencemaran yang mendatangkan kemudaratan yang paling teruk terhadap kesihatan manusia. Dedahan kepada ion- ion radiasi pada tahap yang tinggi boleh menyebabkan barah, kecacatan dan masalah psikologi terhadap manusia. Ini kita boleh ambil contoh dengan tragedi kebocoran loji tenaga nuklear di Chernobyl, Russia yang telah memberikan kesan yang amat buruk terhadap kesihatan manusia. Menurut WHO (1995), kebocoran tersebut telah menyebabkan barah tairoid. Selain daripada itu, pencemaran radiasi tersebut juga telah menyebabkan kecacatan otak serta kecelaruan tingkah laku manusia. 

Bandar Chernobyl, Ukraine merupakan bandar yang terkenal dengan letupan Reaktor Nuklear pada tahun 80an yang menyebabkan radiasi tersebar ratusan kilometer malah 100 kali lebih besar dari kesan Bom Atom di Hiroshima dan Nagasaki. Dengan kepadatan penduduk 135 000 orang, keseluruhan kota Chernobyl telah dikuarantin sehingga kini setelah puluhan tahun masih lagi terdapat “zon berbahaya” seluas 19 batu persegi, di mana tidak ada satu kehidupan yang berada di sana. (http://www.azizwan.com/5-tempat-paling-tercemar-di-dunia).

Berdasarkan contoh  pencemaran radiasi yang telah disebutkan sebelum ini, jelas bahawa pencemaran ini berpunca dari manusia itu sendiri. Sikap manusia itu sendiri yang menjejaskan kesihatan persekitaran mereka. Menurut Zarina Law Abdullah dan Abdul Latif Ahmad (2009), pencemaran radiasi ini tidak hanya tertumpu pada radioaktif daripada nuklear sahaja. Penggunaan gelombang elektromagnet dari radio dan ketuhar gelombang mikro juga boleh menyebabkan pencemaran radiasi. Kajian menunjukkan bahawa manusia akan mengalami masalah kesihatan sekiranya terdedah kepada gelombang elektromagnet pada kadar antara 1 MHz hingga 10 GHz ( WHO, 1998 ).

No comments:

Post a Comment