Friday 21 December 2012

Organisasi Kurikulum Dalam Pendidikan Seni Visual

Oleh Rose Salvia
6 November 2012


Jika kita lihat pada Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah, ia sebenarnya telah disusun mengikut perkembangan kanak-kanak dengan tujuan bagi melibatkan murid dengan pelbagai kegiatan seni. Kegiatan seni tersebut adalah dalam empat bidang utama iaitu;

·         Bidang menggambar

·         Bidang membuat corak dan rekaan

·         Bidang membentuk dan membuat binaan

·         Bidang kraf tradsional
Kesemua empat bidang ini akan memberikan pengalaman seni yang sangat berharga yang akan dapat memperkembangkan dan menyelaraskan persepsi dan konsepsi visual murid di sekolah rendah sebagai asas bagi menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif selaras dengan matlamat dan objektif kurikulum Pendidikan Seni Visual sekolah rendah.
 
Selain daripada itu, Pendidikan Seni Visual ini membantu murid menguasai beberapa kemahiran seperti kemahiran memanipulasi bahan, alat dan teknik serta dapat berfikir secara kritis dan kreatif, belajar komunikasi secara berkesan, membuat pilihan dan bijak membuat interpretasi Murid juga mendapat pengetahuan baru seperti pengetahuan tentang alat, bahan dan teknik yang boleh diaplikasikan dalam sebarang kegiatan seni.  Sebagai tambahan, dengan mempelajari Pendidikan Seni Visual murid juga akan mendapat pengetahuan mengenai sumber motif yang boleh dilihat melalui persekitaran, kraf tradsional, prisnip rekaan, unsur seni, pembuatan hasil seni dan pelbagai lagi.
Organisasi kurikulum dalam Pendidikan Seni Visual merangkumi empat aspek utama. Saya akan menghuraikan keempat- empat organisasi tersebut, mengaitkannya dengan bidang kegiatan aktiviti seni visual dengan perkembangan kanak- kanak berdasarkan kajian literature.
  • Pemerhatian secara aktif
Empat bidang kegiatan pendidikan seni visual memerlukan pemerhatian yang aktif sebelum proses kerja dijalankan. Ini mempunyai persamaan dengan organisasi kurikulum oleh Laura Chapman (1986), di mana pemerhatian juga merupakan pokok utama sebelum menghasilkan sesuatu karya seni itu.  Murid- murid perlu membuat pemerhatian terhadap alam sekeliling, benda- benda yang berada di persekitaran mereka dari segi rupa dan bentuk. Ini sebenarnya merangkumi tentang kesedaran murid mengenai pentingnya pemerhatian keseluruhan, berfokus dan terperinci dapat menajamkan persepsi murid sebelum memulakan kerja seni.
Pemerhatian secara aktif juga melatih murid memperkembangkan deria penglihatan dan pancaidera lain melalui kajian perbandingan yang dibuat terhadap apa yang telah diperhati. Pemerhatian seperti ini sangat penting kerana ia dapat membantu dalam mengembangkan emosi dan imaginasi murid.
 
Domain kognitif, psikomotor, afektif, kreativiti dan sosial murid seperti yang telah dibincangkan sebelum ini dapat dikembangkan menerusi pemerhatian secara aktif. Jika kita ambil contoh pada aktiviti membentuk dan membuat binaan, jelas menunjukkan bahawa pemahaman tentang asas seni visual turut dikembangkan melalui kegiatan pemerhatian.  Brown (1980) mendapati bahawa pengalaman kanak-kanak dalam memerhati ketika melukis atau membuat lakaran dapat meningkatkan kebolehan mereka dalam pengamatan dan memperkayakan pengetahuannya tentang perbezaan-perbezaan setiap objek atau imej tampak di sekeliling mereka.
Justeru itu, jika kanak-kanak diberi pendedahan kaedah dan teknik yang sempurna, mereka akan berkeupayaan mengembangkan pemikiran yang kritis. Karya binaan yang dihasilkan dari bidang membentuk dan membuat binaan  adalah dalam pelbagai bentuk yang kreatif. Ini terbukti bahawa melalui pemerhatian secara aktif terhadap objek alam dan buatan manusia membantu murid mendapat idea, imaginasi dan alam fantasinya dalam menghasilkan sesuatu hasil yang kreatif.
  •   Interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
Bidang kegiatan menggambar, membentuk dan membuat binaan, membuat corak dan rekaan dan kraftangan memerlukan murid berinteraksi dengan alat dan bahan semasa proses kerja menyiapkan karya. Kita ambil contoh aktiviti membentuk dan membina kad dalam mbidang seni membentuk dan membuat binaan , dalam proses kerja menyiapkan kad ucapan, murid-murid menggunakan alat seperti gunting untuk menggunting bentuk yang diingini. Selain daripada itu,murid juga dapat memanipulasikan  bahan yang diberikan iaitu kertas dengan melipatnya bagi mendapatkan lipatan kad yang diingini. Interaksi yang kritis dan kreatif telah ditunjukkan dalam aktiviti seni yang saya jalankan.
Dalam organisasi kurikulum Laura Chapman (1986) turut menjelaskan bahawa penerokaan adalah antara organisasi kurikulum yang penting. Melalui penerokaan terhadap alat dan bahan maka akan terhasilah kreativiti dan idea- idea yang menarik. Sebenarnya, dalam ke empat- empat bidang kegiatan seni di sekolah rendah di Malaysia, murid- murid digalakkan membuat penerokaan dan percubaan dalam mempelbagaikan kegiatan kreatif mereka. Murid- murid akan menggunakan pelbagai bahan dan alat yang mana dapat memperkembangkan domain psikomotor dan kemahiran asas seni visual mereka.
Menurut Simpson (1956), interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan menunjukkan hasil belajar domain psikomotor yang jelas dan tampak dan kemampuan bertindak individu. Hasil belajar Psikomotor ini merupakan lanjutan dari domain kognitif iaiatu memahami sesuatu dan domain Afektif yang baru tampak dalam bentuk kecenderungan- kecenderungan perilaku.
  • Apresiasi Seni Visual secara mudah
Apresiasi seni visual sangat penting sekali dalam memberikan pengalaman kepada murid mengenai aspek pengetahuan seni visual dan kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan fungsi. Laura Chapman (1986) turut menjelaskan bahawa empat aspek utama organisasi kurikulum adalah apresiasi dan perlanjutan. Apresiasi seni yang dijalankan dapat menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan kreatif di masa hadapan.
Bagi organisasi kurikulum pendidikan seni visual di sekolah rendah di Malaysia,apresiasi  seni visual secara mudah yang dijalankan membantu murid menghargai karya seni yang dihasikan bukan sahaja oleh mereka sendiri tetapi oleh rakan- rakan lain dan karya- karya yang ada di sekeliling mereka. Berdasarkan kepada aktiviti menghasilkan kad ucapan dari bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan yang telah saya jalankan kepada murid- murid tahun empat, jelas menunjukkan bahawa murid- murid mendapat pengalaman dan dapat menggunakan karya yang dihasilkan untuk kegiatan kehidupan seperti memberikan kepada seseorang dengan tujuan yang murni.
Selain daripada itu, apresiasi seni visual ini juga dapat melibatkan murid- murid dengan perbandingan dan menyatakan apa yang dilihat dari asek seni melalui karya seni yang telah dihasilkan. Rakan- rakan dan murid itu sendiri boleh membuat penilaian terhadap hasil akhir karya seni bagi tujuan positif untuk meningkatkan lagi kualiti seni di masa hadapan.

Menurut Awang Omar (2009), salah satu elemen penting dalam pengajaran Seni Visual di disekolah ialah apresiasi. Ianya biasa dilakukan pada penghujung pengajaran dan pembelajaran dengan mengambil masa lebih kurang 10 minit. Dalam ruang apresiasi ini murid dan guru akan berbincang tentang hasil karya yang telah dihasilkan oleh murid di dalam kelas.
  • Menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan
Selain daripada pengalaman apresiasi seni seperti yang telah dinyatakan di atas, melalui bidang- bidang kegiatan seni di sekolah rendah, murid juga dipupuk nilai menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran kehidupan mereka. Menghargai nilai baik dalam proses kerja dan hasil akhir seni membentuk sahsiah yang baik di kalangan murid-murid.
Dalam organisasi kurikulum pendidikan seni visual, menghargai nilai baik dalam kehidupan adalah termasuk memelihara dan memulihara alam sekitar, nilai patriotism, nilai kebersihan dan kepekaan. Dengan ini murid akan dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya bila berdepan dengan semua keadaan. Feldman (1976) mendapati bahawa melalui Pendidikan Seni Visual, kanak-kanak dapat meningkatkan kesedaran tentang berlakunya perubahan-perubahan nilai manusia dari masa ke semasa.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, dapatlah dirumuskan bahawa dalam mencapai matlamat Pendidikan Seni Visual, objektifnya dan juga matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, peranan guru yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Seni Visual ini amat penting sekali dalam memberi impak yang maksimum kepada murid. Ini adalah kerana kekuatan Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah bergantung kepada kebijaksanaan guru tersebut dalam mengendalikan aktiviti dan memperkembangkan domain kognitif, psikomotor, afektif, kreativiti dan sosial murid- muridnya dalam melahirkan insan yang seimbang dan harmonis.
Jelas terbukti melalui tugasan ini, empat organisasi kurikulum yang dijelaskan oleh Laura Chapman (1986) iaitu pemerhatian, penerokaan, penghasilan dan apresiasi dan lanjutan mempunyai persamaan dengan organisasi pendidikan seni visual sekolah rendah di Malaysia iaitu pemerhatian secara aktif, interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan, apresiasi seni visual secara mudah dan menghargai nilai baik semua aspek.
Keberkesanaan dan kepentingan pendidikan seni visual di sekolah rendah di Malaysia sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Walaupun ia bukanlah mata pelajaran teras sepenting mata pelajaran UPSR namun, keberkesanannya dalam membantu kemenjadian murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial adalah sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara. 

No comments:

Post a Comment