Friday 21 December 2012

2.0 Perkembangan Kognitif, Psikomotor, Afektif, Kreativiti dan Sosial Kanak- Kanak dalam Pendidikan Seni Visual selaras dengan Matlamat dan Objektif Kurikulum Pendidikan Seni Visual


Oleh Rose Salvia
6 November 2012
 
Sememangnya tidak dapat disangkal lagi bahawa domain kognitif, psikomotor, afektif, kreativiti dan sosial kanak- kanak dalam Pendidikan Seni Visual memainkan peranan yang besar sekali dalam menjayakan matlamat dan objektif kurikulum Pendidikan Seni Visual. Berdasarkan kepada domain- domain ini, saya akan membincangkan secara terperinci dan membuat perkaitan secara komprehensif dengan matlamat dan objektif kurikulum Pendidikan Seni Visual  sekolah rendah. Di samping itu, disertakan contoh- contoh gambar semasa proses kerja dalam bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan iaitu aktiviti menyediakan kad ucapan oleh murid tahun empat di sekolah saya bagi menyokong kajian yang saya jalankan.  

Domain Kognitif dalam Pendidikan Seni Visual
Dalam Pendidikan Seni Visual, domain kognitif ini sebenarnya mempunyai hubungan dengan kemampuan seseorang murid itu berfikir termasuk kemampuan memahami, menghafal, mengaplikasi dan menganalsis. Menurut Taksonomi Bloom (Sax 1980), kemampuan kognitif adalah kemampuan berfikir secara hirarki yang terdiri dari pengetahuan, pemahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan evaluasi.
Penghasilan lukisan oleh murid- murid di sekolah rendah mempunyai interpretasi yang berbeza dengan yang dihasilkan oleh orang dewasa. Bagi mereka, hasil seni yang dihasilkan lebih berupa kepada hasil luahan dan expresif. Di sekolah rendah, hasil seni yang dihasilkan oleh kanak- kanak dapat digunakan untuk melihat bagaimana caranya mereka berfikir dan menyelami perasaan mereka selain melihat dan menguji keupayaan perkembangan kognitif mereka.
Jika kita lihat contoh aktiviti dalam membentuk dan membuat binaan iaiatu aktiviti mebina kad ucapan, jelas menunjukkan bahawa murid- murid dapat mengaplikasikan apa yang telah difahami dalam menghasilkan kad ucapan dengan menwarna kad tersebut. Murid mampu berfikir tentang proses kerja seterusnya sehinggalah terhasilnya sebuah kad ucapan yang indah dan kreatif berdasarkan kemampuan kognitif mereka sendiri. Ini menunjukkan bahawa, aktiviti- aktiviti seni yang tersusun dan terancang dapat melahirkan murid yang mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah. Selain daripada itu, mereka juga akan mampu untuk membuat penilaian dan bijak membuat keputusan.
Perkembangan domain kognitif dalam proses kerja murid dalam menghasilkan karya seni adalah selaras dengan matlamat membentuk generasi Malaysia yang imaginatif, inovatif dan inventif. Dengan penghasilan karya- karya seni, murid dapat menghargai keindahan alam sekitar, rasa kesyukuran kepada Tuhan di atas seni yang dihasilkan dan meningkatkan keindahan seni yang dapat menyumbang kepada pembangunan diri seperti yang dinyatakan dalam objektif kurikulum pendidikan seni visual sekolah rendah yang ketiga iaitu meningkatkan pengetahuan, daya kreativiti, inovasi, disiplin serta kemahiran dalam bidang seni visual yang dapat diamalkan dalam kehidupan dan kerjaya.
Domain Psikomotor dalam Pendidikan Seni Visual
Domain psikomotor dalam Pendidikan Seni Visual adalah merujuk kepada ketrampilan dan kemampuan seseorang kanak- kanak itu bertindak setelah menerima pengalaman belajar. Dalam mata pelajaran pendidikan seni visual, kanak- kanak diajar untuk mengawal dan melatih psikomotor mereka dalam menghasilkan karya seni. Ini kita dapat lihat dalam aktiviti seni dalam bidang yang diajar seperti aktiviti melukis, menganyam, membentuk dan membuat binaan, membuat corak dan pelbagai lagi.
Aktiviti- aktiviti seni dalam ke empat- empat bidang banyak menggunakan psikomotor dalam penghasilan seni. Kita ambil contoh aktiviti membina kad ucapan. Melukis pada kad dengan teknik tulisan yang pelbagai dan dilukis berbunga adalah menunjukkan perkembangan Psikomotor yang positif. Menurut Ibrahim Hassan (2001) Pendidikan Seni Visual sekolah rendah memupuk pertumbuhan kemahiran dalam pergerakan atau gerak balas yang boleh terbentuk melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan meningkatkan kualiti koordinasi antara mata, tangan, otot dan mental.
Domain Psikomotor ini adalah selaras dengan matlamat Pendidikan Seni Visual ke arah pembangunan diri dan objektif Pendidikan Seni Visual yang ke empat iaitu menggunakan pelbagai kemahiran, media, teknik dan teknologi untuk mereka cipta barangan kraf dan produk seni visual yang berkualiti. Kemahiran psikomotor yang ditunjukkan dalam gambar 2 jelas terbukti menunjukkan perkembangan kecergasan, bersedia menjalankan amalan menggunakan masa lapang secara berfaedah, memperolehi kemahiran-kemahiran asas praktik dalam kehidupan seharian dan mempunyai asas kemahiran vokasional.
Domain Afektif dalam Pendidikan Seni Visual
Domain afektif merupakan sesuatu yang berkaitan dengan sikap dan nilai. Dalam Pendidikan Seni Visual, aspek afektif ini mencakupi perasaan, minat, sikap, emosi dan nilai. Dalam penghasilan karya, murid di sekolah rendah tidak kira peringkat umur akan mempunyai perasaan terhadap sesuatu yang ingin dihasilkan. Minat akan menjadi fokus utama jenis karya yang bakal dihasilkan. Manakala emosi pula banyak mempengaruhi semasa proses kerja karya tersebut dan nilai yang dapat ditunjukkan adalah nilai menghargai warisan, sahsiah yang baik dan rasa kesyukuran. Ini jelas menunjukkan bahawa domain afektif ini menekankan kepada kepentingan emosi dan perasaan.
Justeru itu, seseorang murid yang mempunyai domain afektif yang tinggi dalam Pendidikan Seni Visual akan dapat dilihat menerusi berbagai tingkah laku. Antaranya adalah seperti, pemerhatian murid tersebut terhadap mata pelajaran Pendidikan Seni Visual, disiplinnya dalam menyediakan bahan seni yang diperlukan, mempunyai motivasi yang tinggi terhadap mata pelajaran seni  dan penghargaan terhadap alam sekitar dan kesyukuran ditunjukkan dalam karya yang dihasilkan.  Fokus utama murid-murid dalam aktiviti- aktiviti seni adalah meluahkan perasaan dalam karya dan memiliki motivasi yang sangat tinggi sehingga tumpuan diberikan seratus peratus terhadap karya yang ingin dihasilkan. Ini mempunyai perkaitan dengan matlamat Pendidikan Seni Visual iaitu menghargai keindahan seni dan objektif kurikulum Pendidikan Seni Visual menunjukkan penghargaan terhadap keindahan dan menjadikan bidang seni visual sebagai prospek kerjaya.
Domain Kreativiti dalam Pendidikan Seni Visual
Dalam Pendidikan Seni Visual, domain kreativiti pula merujuk kepada proses yang berterusan dalam menghasilkan sesuatu yang baru dan asli. Murid- murid sekolah rendah mempunyai nilai imaginatif yang tinggi tidak kiralah murid tersebut di tahap satu mahupun di tahap dua. Masing- masing akan mempunyai kreativiti yang berbeza dalam meluahkan penghasilan seni. Ini bermakna dalam pendidikan seni visual, murid- murid mampu berfikir dengan kreatif dan kritis dalam memperkembangkan hasil seni mereka.
Dalam Pendidikan Seni Visual, murid- murid di sekolah dapat melibatkan diri dengan pelbagai proses kerja seni yang banyak melibatkan aktiviti kreatif dan proses mengembangkan idea dalam diri mereka. Projek seperti membuat kad ucapan dari bidang membentuk dan membuat binaan dalam mata pelajaran pendidikan seni visual ini telah membantu murid ini mengembangkan domain kreativitinya.
Aktiviti memghasilkan kad ucapan seperti ini di dalam Pendidikan Seni Visual mengutamakan proses dan hasilan akhir. Oleh yang demikian, proses kerja ini menyuburkan budaya pemikiran kritikal murid di dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Selain itu, aktiviti pendidikan seni visual ini menggalakkan eksplorasi dan eksperimentasi agar murid mempunyai pengalaman luas dalam bidang penghasilan karya.  Pendidikan Seni Visual ini berupaya mengembangkan naluri ingin tahu secara eksplorasi menerusi deria. Pemikiran kreatif dan kritis akan terus dijana melalui ekspresi diri mereka.
Semua yang telah dibincangkan di atas dalam domain kreativiti adalah sejajar dengan matlamat Pendidikan Seni Visual dalam melahirkan generasi Malaysia yang imaginatif, kritis, kreatif, inovatif dan inventif. Melalui karya seni mereka, murid dapat berimaginasi, berfikir secata kreatif dan kritis, berdaya inovatif dalam menghasilkan karya ynag bermutu dan inventif.  Ini semua adalah sejajar dengan objektif ke tiga pendidikan seni visual iaitu meningkatkan pengetahuan, daya kreativiti, inovasi, disiplin serta kemahiran dalam bidang seni visual yang dapat diamalkan dalam kehidupan dan kerjaya.
Domain Sosial dalam Pendidikan Seni Visual
Dalam pendidikan seni visual, murid diberi peluang berinteraksi dan meningkatkan keupayaan bersosial. Interaksi dan keupayaan bersosial ini dapat meningkatkan keyakinan diri murid-murid.  Aktiviti pendidikan seni visual seperti ini memberikan peluang kepada murid untuk saling hormat- menghormati dan menjadi landasan untuk memupuk perasaan bertoleransi. Dalam domain sosial pendidikan seni visual, semangat berkerjasama di dalam aktiviti berkumpulan dapat dibentuk.
Perkembangan sosial murid- murid secara positif dapat dibentuk dengan perkongsian ilmu melalui gerak kerja berkumpulan dan apresiasi seni. Murid- murid bukan sahaja berkongsi idea malah dapat menambahbaik penghasilan seni mereka. Hubungan sosial yang dibentuk di antara rakan sebaya semasa proses kerja seni yang dijalankan secara tidak langsung dapat menyemai nilai menghormati, kerjasama dan saling bantu-membantu. Domain sosial ini adalah selaras dengan matlamat dan objektif pendidikan visual kearah melahirkan insan yang seimbang dan harmonis yang mempunyai nilai sosial yang tinggi sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara.

1 comment: