Sunday 31 March 2013

Pemimpin Jenis Manakah yang Anda Suka ?

Tahukah anda bahawa ada tiga gaya kepimpinan yang diamalkan oleh seseorang pemimpin itu termasuk diri kita sendiri ? Sedar atau tidak.... kita pasti tergolong dalam satu antaranya....

 

Jika kita ibu bapa, kita adalah pemimpin kepada anak- anak kita...jika kita guru besar atau pengetua, kita adalah pemimpin kepada guru- guru di sekolah....jika kita guru, kita adalah pemimpin murid- murid kita...

 

 Gaya kepimpinan yang diamalkan oleh seseorang pemimpin boleh dikategorikan kepada tiga gaya. 

AUTOKRATIK
Ciri- ciri pemimpin Autokratik ialah;
1. Pemimpin yang menentukan semua matlamat dan dasar mengenai aktiviti termasuk peraturan, prosedur dan teknik.
2. Melantik jawatankuasa dan menentukan tugas, masa dan tempat bagi sesuatu aktiviti.
3. Orang bawahan tidak diberi peluang mengemuka atau menyuarakan pendapat dan cadangan mereka.
4. Perhubungan bersifat sehala dan sentiasa suka mengarah orang bawahan.
5. Memberikan pujian dan kritikan  secara peribadi.
6. Tidak suka jika orang bawahan melebihinya atau memandai- mandai/ bertindak tanpa arahan.

DEMOKRATIK
Ciri- ciri Pemimpin Demokatik ialah;
1. Dasar dan keputusan mengenai sesuatu aktiviti adalah hasi daripada perbicangan atau mesyuarat di dalam organisasi.
2. Sentiasa membantu ahli membentuk matlamat dan alternatif sendiri.
 3. Bertindak sebagai pemudah cara.
4. Bersikap objektif dan adil dalam memberi teguran, pujian dan kritikan.
5. Melibatkan semua ahli supaya mereka dapat memberi sumbangan yang optimum kepada organisasi dan ahli.
6. Memberikan kebebasan kepada ahli- ahli untuk berkerja dan mengikut cara mereka sendiri yang dirasakan selesa.
7. Bersikap positif dalam mengekalkan tekanan ke arah peningkatan, prestasi, pencapaian dan kesungguhan.

LAISSEZ- FAIRE
Ciri- ciri Pemimpin Laissez-Faire;
1. Memberi kebebasan sepenuhnya kepada ahli untuk membuat keputusan, perancangan dan perbincangan mengenai dasar dan matlamat serta aktiviti organisasi.
2. Tidak membuat penilaian, tidak memberi pujian.kritikan, idea dan nasihat kepada ahli kecuali hanya jika diminta oleh ahli.
3. Tidak menentukan tugasan dan tanggungjawab pekerja bawahannya.
4. Tidak menekankan prestasi pencapaian dan kecemerlangan organisasi.
5. Memberikan tanggunjawab sepenuhnya kepada ahli dan kadangkala ahli mengambil alih tugas atau kuasa ketua.

Friday 8 March 2013

Kajian Rancangan Makanan Tambahan(RMT) Sekolah Rendah



Oleh rossalvia
Kajian Rancangan Makanan Tambahan ( RMT ) di Sekolah Rendah
1.0       PENGENALAN
Rancangan Kesihatan Sekolah bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia pendidikan, malah ia telah dimulakan sejak dari tahun 1967 lagi dengan objektif utamanya iaitu bagi melahirkan pelajar- pelajar dan masyarakat sekolah yang sihat dan produktif. Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mencadangkan supaya Rancangan Kesihatan Sekolah diberi nafas baru dengan mewujudkan Program Bersepadu Sekolah Sihat (PBSS). 

Tujuan Program Bersepadu Sekolah Sihat ( PBSS ) ini adalah untuk menyatupadukan dan menyelaras semua aktiviti yang berkaitan dengan kesihatan sekolah. Antara Program Bersepadu Sekolah Sihat (PBSS) yang dilaksanakan di sekolah adalah Perkhidmatan Sekolah, Perkhidmatan Pergigian, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) , Program Susu Sekolah (PSS), Pendidikan Pencegahan Denggi, menjadikan sekolah kawasan larangan merokok, menyediakan pertolongan cemas dan bilik khas kesihatan (sick-bay), mewujudkan Program Sihat Tanpa AIDS untuk Remaja (PROSTAR), mengadakan program bebas dadah dan kempen cara hidup sihat. (Norazhan Che Lan, 2010 ).

Kajian ini akan mengupas tentang Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam usaha untuk membantu dan menaik taraf pemakanan serta kesihatan pelajar di sekolah rendah. Kajian yang menyeluruh berkaitan dengan RMT ini telah dibuat di salah sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan di Miri, Sarawak.  Dalam kajian ini, saya juga telah memilih beberapa orang murid di sekolah tersebut yang terlibat dengan program RMT ini dan menilai sejauh mana keberkesanan program ini dalam mempertingkatkan pencapaian akademik murid yang terlibat. 

Selain daripada itu, berdasarkan tinjauan dan kajian yang telah dilakukan, saya juga telah memberikan beberapa pandangan secara analitikal mengenai sejauh mana keberkesanan dan kejayaan program RMT ini. Beberapa cadangan penambahbaikan yang relevan dicadangkan bagi membantu kelancaran program RMT ini. Semoga perkongsian maklumat melalui tugasan ini akan dapat memberi pengetahuan kepada semua.


2.0       Rancangan Makanan Tambahan (RMT) Sekolah Rendah

Rancangan Makanan Tambahan atau lebih dikenali dengan RMT merupakan satu usaha murni pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam membantu meningkatkan taraf pemakanan dan kesihatan pelajar- pelajar sekolah rendah. Rancangan ini bertujuan untuk memberi makanan percuma kepada pelajar- pelajar sekolah rendah terutamanya dari luar bandar dan dari golongan berpendapatan rendah secara imbuhan. Menurut Aziz Ibrahim (1997) dalam Buletin Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), rancangan ini sebenarnya tidak bermaksud untuk mengambil alih tugas ibu bapa dalam memberi makanan kepada anak- anak mereka tetapi ianya adalah sekadar membekalkan 25% hingga 33% daripada keperluan kalori harian kanak- kanak tersebut. (http://ilmusvr:imr.gov.my 20 Ogos 2007).

Rancangan Makanan Tambahan (RMT) tidaklah bermaksud menggantikan rancangan makanan yang disampaikan kepada seseorang murid sekolah oleh ibu bapa atau penjaganya. RMT bermaksud untuk memberi makanan tambahan, iaitu ¼ - 1/3 daripada jumlah keperluan harian bagi seorang murid sekolah rendah harian sepenuhnya. Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah adalah suatu usaha yang bersepadu dan selaras dengan usaha- usaha lain yang berkaitan dengan kesihatan dan pemakanan (http://skklk.pkgklk.com-RMT)
 


2.1       Objektif 

Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) adalah berdasarkan kepada beberapa objektif iaitu;

  •  Memberi makanan tambahan yang berzat dan seimbang kepada murid-murid yang berkenaan untuk membantu mereka mengatasi masalah dari segi pertumbuhan badan dan kekurangan tenaga.
  •  Menyelenggarakan pendidikan kesihatan dan pemakanan secara tidak langsung.
  • Menggalakkan penglibatan dan pernyataan masyarakat dalam usaha-usaha sekolah mengelolakan RMT.
  • Mengendalikan tabiat-tabiat bersopan-santun, berdisiplin, bertimbang rasa serta  amalan-amalan yang diinginkan berkaitan dengan kebersihan diri, kebersihan makanan dan kebersihan alam sekitar.
  •  Memberi makanan tambahan kepada murid- murid sekolah rendah, terutamanya dari luar bandar dan golongan berpendapatan rendah secara imbuhan dan sementara waktu, untuk memperbaiki keadaan kesihatan sebagai satu usaha yang selaras dengan Dasar Pembangunan Negara.
(Norazhan Che Lan, 2010)

3.0       Hasil Kajian Rancangan Makanan Tambahan (RMT) Sekolah Rendah

Dalam tugasan ini, saya telah memilih sekolah tempat saya mengajar sebagai kajian menyeluruh berkaitan dengan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) ini. Sekolah saya ini merupakan sebuah sekolah yang terletak di bandar Kota Kinabalu, Sabah.  Di sekolah ini menempatkan 1, 430 orang pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.  

Kajian yang telah saya jalankan ini berdasarkan kepada fakta sebenar yang berlaku di sekolah ini.
 
3.1       Pentadbiran / Organisasi RMT 


      3.2       Sumber Kewangan


Peruntukkan kewangan bagi Rancangan Makanan Tambahan ini adalah di sediakan oleh Kementerian Pelajaran. Bayaran kepada Jabatan Pelajaran dibuat terus oleh Bahagian Kewangan Pendidikan Negeri Kementerian Pelajaran Malaysia di mana Jabatan Pelajaran menyalurkan kepada sekolah-sekolah di bawah seliaan mereka. Pada penghujung setiap bulan, sekolah akan diberikan cek bagi pembayaran kepada pihak yang mengurus RMT sekolah setelah laporan bulanan disemak oleh Jabatan.

3.3       Kaedah dan kriteria pemilihan murid RMT

Di sekolah saya, kaedah pemilihan murid adalah melalui proses pemilihan berdasarkan permohonan borang RMT yang telah diisi oleh ibu bapa/ penjaga seseorang pelajar itu.  Pelajar yang layak dipilih melalui perbincangan oleh Jawatankuasa RMT yang terdiri daripada PK Hem, wakil PIBG dan 3 guru RMT. 

Kriteria pemilihan murid RMT ini adalah berdasarkan kepada;
a.       Murid yang menunjukkan tanda- tanda salah pemakanan.
b.      Murid daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan ahli keluarga yang ramai.
c.       Murid yang rumahnya jauh dari sekolah. 

3.4       Kaedah dan pemilihan tender untuk RM

Pihak sekolah telah menyerahkan tanggungjawab untuk penyediaan dan pengurusan RMT ini kepada pihak kantin sekolah. Keputusan yang telah dibuat adalah berdasarkan kepada persetujuan dari Pejabat Pelajaran. 

3.5       Kaedah pembayaran kepada pihak penyediaan makanan

Memandangkan di sekolah ini, pihak kantin yang mengurus dan menyediakan makanan RMT, maka pihak sekolah akan memberikan bayaran berupa cek kepada pihak kantin sebulan sekali yang mana cek ini telah dikeluarkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah.
Berdasarkan kepada bilangan murid yang menerima RMT seramai 400 orang murid, RM2.05 didarabkan kepada jumlah 400 dan hasilnya didarabkan kepada jumlah hari persekolahan pada bulan-bulan tersebut. 

3.6       Kaedah pengagihan makanan kepada peserta

Pihak kantin sekolah yang diberikan hak untuk pengurusan dan penyediaan RMT di sekolah ini telah menyediakan kad RMT yang tertera nama bagi setiap murid RMT mengikut kelas masing- masing. Ketua kelas akan mengambil kad-kad tersebut 10 minit sebelum masa rehat dan mengedarkannya kepada murid RMT yang terdapat di kelas masing- masing. Murid- murid RMT ini akan keluar 5 minit sebelum loceng rehat dibunyikan dan berbaris mengambil makanan di kantin. Pekerja kantin akan yang bertugas mengedarkan makanan akan mengambil kad RMT murid tersebut sebelum memberikan makanan RMT.

3.7       Pemilihan pekerja- pekerja yang terlibat dengan RMT

Memandangkan pihak sekolah telah memberikan kepercayaan kepada kantin sekolah dalam penyediaan makanan RMT ini, maka pihak pengurus kantin telah mengarahkan pekerja- pekerjanya untuk menyedia dan mengurus RMT ini mengikut masa yang telah ditetapkan.

Berdasarkan kepada pemerhatian dan kajian yang dijalankan, pekerja- pekerja kantin yang bertugas menyedia dan mengurus RMT ini berpakaian kemas warna putih dan memakai apron. Ini adalah berdasarkan kepada panduan pengurusan RMT yang telah disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

3.8       Pemilihan bahan- bahan mentah

Mengikut peraturan tentang bekalan makanan, penyediaan dan penyimpanan barang-barang makanan yang terdapat dalam Buku Panduan RMT ( Kementerian Pelajaran Malaysia, 2003), dinyatakan bahawa bahan makanan yang patut dihidang hendaklah terdiri daripada makanan yang ;

i.                mengandungi zat makanan tertentu untuk membina badan, memberi tenaga dan  mencegah penyakit.
ii.               segar, tidak basi, tidak rosak dan tidak busuk.
iii.              mengenyangkan.
iv.              tidak mengandungi bahan kimia, pewarna dan lain-lain yang boleh merosakkan kesihatan.

Oleh itu, berdasarkan kepada peraturan di atas, didapati menerusi kajian yang dijalankan pihak kantin sekolah telah mematuhi peraturan yang disediakan. Bahan makanan yang disediakan dapat memberikan tenaga kepada murid RMT. Malah ia juga dapat mengenyangkan dan tidak mengandungi bahan kimia atau pewarna.

3.9       Menu makanan yang disediakan

Penyelaras RMT iaitu PK Hal Ehwal Pelajar di sekolah ini telah menyediakan menu makanan yang seimbang untuk dipatuhi oleh pihak kantin. Menu makanan ini disediakan berdasarkan kepada perbincangan dan persetujuan AJK RMT dengan pengurus kantin sekolah.

Berikut adalah menu RMT di sekolah ini ;
HARI
MENU MAKANAN
ISNIN
1.      Bubur nasi
2.      Minuman – milo
3.      Buah – nenas
SELASA
1.      Mee goreng dengan sayur dan ayam
2.      Minuman – milo
3.      Buah – betik
RABU
1.      Roti- 2 keping + jem
2.      Minuman – milo
3.      Buah - tembikai
KHAMIS
1.      Nasi + ayam masak kicap + sayur
2.      Minuman – jus oren
3.      Buah - betik
JUMAAT
1.      Nasi kuning + telur + sayur
2.      Minuman – milo
3.      Buah - nenas

Berdasarkan menu makanan yang dipilih dan disediakan oleh pihak kantin sekolah, makanan tersebut adalah seimbang dan sesuai dengan objektif RMT seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.

3.10     Cara penyediaan makanan RMT

Pengurusan dan penyediaan makanan RMT di sekolah ini adalah ditadbir sendiri oleh pihak kantin. Oleh itu, kantin sekolah seratus peratus bertanggungjawab terhadap kebersihan, pengurusan dan penyediaan makanan RMT murid.
Berdasarkan tinjauan yang dibuat, didapati pihak kantin mula menyediakan makanan RMT pada jam 9 pagi. Makanan tersebut siap dimasukkan ke dalam bekas yang disediakan 15 minit sebelum masa rehat murid. Makanan yang telah dimasukkan ke dalam bekas plastik disusun di atas sebuah meja di tepi kantin. Cara penyediaan makanan RMT ini kelihatan terurus dengan sistematik.
4.0     Kajian Keberkesanan Program RMT

Tujuan utama kajian ini adalah untuk melihat sejauh manakah keberkesanan Program RMT ini dalam mempertingkatkan pencapaian akademik murid yang terlibat. Pemilihan sampel adalah berdasarkan kepada taraf sosio-ekonomi murid, kawasan tempat tinggal, taraf pendidikan ibu bapa dan bilangan adik-beradik.

Dalam kajian ini, saya telah memilih seramai 10 orang murid secara rawak yang kini belajar di  tahun 4 dan  telah menerima Program RMT ini sejak dari tahun 1 lagi. Murid- murid RMT yang terpilih ini adalah berdasarkan dari taraf sosio-ekonomi yang pendapatan keluarga kurang daripada RM1, 000. Tempat tinggal sampel kajian ini adalah kawasan pinggir bandar yang rata-ratanya tinggal di flat kos rendah. Mereka juga mempunyai ibu bapa yang taraf pendidikannya hanya tamat sekolah menengah rendah. Bilangan adik- beradik yang ramai iaitu melebihi 5 orang juga adalah kriteria sampel kajian saya.