Friday 21 December 2012

Organisasi Kurikulum Dalam Pendidikan Seni Visual

Oleh Rose Salvia
6 November 2012


Jika kita lihat pada Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah, ia sebenarnya telah disusun mengikut perkembangan kanak-kanak dengan tujuan bagi melibatkan murid dengan pelbagai kegiatan seni. Kegiatan seni tersebut adalah dalam empat bidang utama iaitu;

·         Bidang menggambar

·         Bidang membuat corak dan rekaan

·         Bidang membentuk dan membuat binaan

·         Bidang kraf tradsional
Kesemua empat bidang ini akan memberikan pengalaman seni yang sangat berharga yang akan dapat memperkembangkan dan menyelaraskan persepsi dan konsepsi visual murid di sekolah rendah sebagai asas bagi menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif selaras dengan matlamat dan objektif kurikulum Pendidikan Seni Visual sekolah rendah.
 
Selain daripada itu, Pendidikan Seni Visual ini membantu murid menguasai beberapa kemahiran seperti kemahiran memanipulasi bahan, alat dan teknik serta dapat berfikir secara kritis dan kreatif, belajar komunikasi secara berkesan, membuat pilihan dan bijak membuat interpretasi Murid juga mendapat pengetahuan baru seperti pengetahuan tentang alat, bahan dan teknik yang boleh diaplikasikan dalam sebarang kegiatan seni.  Sebagai tambahan, dengan mempelajari Pendidikan Seni Visual murid juga akan mendapat pengetahuan mengenai sumber motif yang boleh dilihat melalui persekitaran, kraf tradsional, prisnip rekaan, unsur seni, pembuatan hasil seni dan pelbagai lagi.
Organisasi kurikulum dalam Pendidikan Seni Visual merangkumi empat aspek utama. Saya akan menghuraikan keempat- empat organisasi tersebut, mengaitkannya dengan bidang kegiatan aktiviti seni visual dengan perkembangan kanak- kanak berdasarkan kajian literature.
  • Pemerhatian secara aktif
Empat bidang kegiatan pendidikan seni visual memerlukan pemerhatian yang aktif sebelum proses kerja dijalankan. Ini mempunyai persamaan dengan organisasi kurikulum oleh Laura Chapman (1986), di mana pemerhatian juga merupakan pokok utama sebelum menghasilkan sesuatu karya seni itu.  Murid- murid perlu membuat pemerhatian terhadap alam sekeliling, benda- benda yang berada di persekitaran mereka dari segi rupa dan bentuk. Ini sebenarnya merangkumi tentang kesedaran murid mengenai pentingnya pemerhatian keseluruhan, berfokus dan terperinci dapat menajamkan persepsi murid sebelum memulakan kerja seni.
Pemerhatian secara aktif juga melatih murid memperkembangkan deria penglihatan dan pancaidera lain melalui kajian perbandingan yang dibuat terhadap apa yang telah diperhati. Pemerhatian seperti ini sangat penting kerana ia dapat membantu dalam mengembangkan emosi dan imaginasi murid.
 
Domain kognitif, psikomotor, afektif, kreativiti dan sosial murid seperti yang telah dibincangkan sebelum ini dapat dikembangkan menerusi pemerhatian secara aktif. Jika kita ambil contoh pada aktiviti membentuk dan membuat binaan, jelas menunjukkan bahawa pemahaman tentang asas seni visual turut dikembangkan melalui kegiatan pemerhatian.  Brown (1980) mendapati bahawa pengalaman kanak-kanak dalam memerhati ketika melukis atau membuat lakaran dapat meningkatkan kebolehan mereka dalam pengamatan dan memperkayakan pengetahuannya tentang perbezaan-perbezaan setiap objek atau imej tampak di sekeliling mereka.
Justeru itu, jika kanak-kanak diberi pendedahan kaedah dan teknik yang sempurna, mereka akan berkeupayaan mengembangkan pemikiran yang kritis. Karya binaan yang dihasilkan dari bidang membentuk dan membuat binaan  adalah dalam pelbagai bentuk yang kreatif. Ini terbukti bahawa melalui pemerhatian secara aktif terhadap objek alam dan buatan manusia membantu murid mendapat idea, imaginasi dan alam fantasinya dalam menghasilkan sesuatu hasil yang kreatif.
  •   Interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
Bidang kegiatan menggambar, membentuk dan membuat binaan, membuat corak dan rekaan dan kraftangan memerlukan murid berinteraksi dengan alat dan bahan semasa proses kerja menyiapkan karya. Kita ambil contoh aktiviti membentuk dan membina kad dalam mbidang seni membentuk dan membuat binaan , dalam proses kerja menyiapkan kad ucapan, murid-murid menggunakan alat seperti gunting untuk menggunting bentuk yang diingini. Selain daripada itu,murid juga dapat memanipulasikan  bahan yang diberikan iaitu kertas dengan melipatnya bagi mendapatkan lipatan kad yang diingini. Interaksi yang kritis dan kreatif telah ditunjukkan dalam aktiviti seni yang saya jalankan.
Dalam organisasi kurikulum Laura Chapman (1986) turut menjelaskan bahawa penerokaan adalah antara organisasi kurikulum yang penting. Melalui penerokaan terhadap alat dan bahan maka akan terhasilah kreativiti dan idea- idea yang menarik. Sebenarnya, dalam ke empat- empat bidang kegiatan seni di sekolah rendah di Malaysia, murid- murid digalakkan membuat penerokaan dan percubaan dalam mempelbagaikan kegiatan kreatif mereka. Murid- murid akan menggunakan pelbagai bahan dan alat yang mana dapat memperkembangkan domain psikomotor dan kemahiran asas seni visual mereka.
Menurut Simpson (1956), interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan menunjukkan hasil belajar domain psikomotor yang jelas dan tampak dan kemampuan bertindak individu. Hasil belajar Psikomotor ini merupakan lanjutan dari domain kognitif iaiatu memahami sesuatu dan domain Afektif yang baru tampak dalam bentuk kecenderungan- kecenderungan perilaku.
  • Apresiasi Seni Visual secara mudah
Apresiasi seni visual sangat penting sekali dalam memberikan pengalaman kepada murid mengenai aspek pengetahuan seni visual dan kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan fungsi. Laura Chapman (1986) turut menjelaskan bahawa empat aspek utama organisasi kurikulum adalah apresiasi dan perlanjutan. Apresiasi seni yang dijalankan dapat menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan kreatif di masa hadapan.
Bagi organisasi kurikulum pendidikan seni visual di sekolah rendah di Malaysia,apresiasi  seni visual secara mudah yang dijalankan membantu murid menghargai karya seni yang dihasikan bukan sahaja oleh mereka sendiri tetapi oleh rakan- rakan lain dan karya- karya yang ada di sekeliling mereka. Berdasarkan kepada aktiviti menghasilkan kad ucapan dari bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan yang telah saya jalankan kepada murid- murid tahun empat, jelas menunjukkan bahawa murid- murid mendapat pengalaman dan dapat menggunakan karya yang dihasilkan untuk kegiatan kehidupan seperti memberikan kepada seseorang dengan tujuan yang murni.
Selain daripada itu, apresiasi seni visual ini juga dapat melibatkan murid- murid dengan perbandingan dan menyatakan apa yang dilihat dari asek seni melalui karya seni yang telah dihasilkan. Rakan- rakan dan murid itu sendiri boleh membuat penilaian terhadap hasil akhir karya seni bagi tujuan positif untuk meningkatkan lagi kualiti seni di masa hadapan.

Menurut Awang Omar (2009), salah satu elemen penting dalam pengajaran Seni Visual di disekolah ialah apresiasi. Ianya biasa dilakukan pada penghujung pengajaran dan pembelajaran dengan mengambil masa lebih kurang 10 minit. Dalam ruang apresiasi ini murid dan guru akan berbincang tentang hasil karya yang telah dihasilkan oleh murid di dalam kelas.
  • Menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan
Selain daripada pengalaman apresiasi seni seperti yang telah dinyatakan di atas, melalui bidang- bidang kegiatan seni di sekolah rendah, murid juga dipupuk nilai menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran kehidupan mereka. Menghargai nilai baik dalam proses kerja dan hasil akhir seni membentuk sahsiah yang baik di kalangan murid-murid.
Dalam organisasi kurikulum pendidikan seni visual, menghargai nilai baik dalam kehidupan adalah termasuk memelihara dan memulihara alam sekitar, nilai patriotism, nilai kebersihan dan kepekaan. Dengan ini murid akan dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya bila berdepan dengan semua keadaan. Feldman (1976) mendapati bahawa melalui Pendidikan Seni Visual, kanak-kanak dapat meningkatkan kesedaran tentang berlakunya perubahan-perubahan nilai manusia dari masa ke semasa.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, dapatlah dirumuskan bahawa dalam mencapai matlamat Pendidikan Seni Visual, objektifnya dan juga matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, peranan guru yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Seni Visual ini amat penting sekali dalam memberi impak yang maksimum kepada murid. Ini adalah kerana kekuatan Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah bergantung kepada kebijaksanaan guru tersebut dalam mengendalikan aktiviti dan memperkembangkan domain kognitif, psikomotor, afektif, kreativiti dan sosial murid- muridnya dalam melahirkan insan yang seimbang dan harmonis.
Jelas terbukti melalui tugasan ini, empat organisasi kurikulum yang dijelaskan oleh Laura Chapman (1986) iaitu pemerhatian, penerokaan, penghasilan dan apresiasi dan lanjutan mempunyai persamaan dengan organisasi pendidikan seni visual sekolah rendah di Malaysia iaitu pemerhatian secara aktif, interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan, apresiasi seni visual secara mudah dan menghargai nilai baik semua aspek.
Keberkesanaan dan kepentingan pendidikan seni visual di sekolah rendah di Malaysia sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Walaupun ia bukanlah mata pelajaran teras sepenting mata pelajaran UPSR namun, keberkesanannya dalam membantu kemenjadian murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial adalah sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara. 

2.0 Perkembangan Kognitif, Psikomotor, Afektif, Kreativiti dan Sosial Kanak- Kanak dalam Pendidikan Seni Visual selaras dengan Matlamat dan Objektif Kurikulum Pendidikan Seni Visual


Oleh Rose Salvia
6 November 2012
 
Sememangnya tidak dapat disangkal lagi bahawa domain kognitif, psikomotor, afektif, kreativiti dan sosial kanak- kanak dalam Pendidikan Seni Visual memainkan peranan yang besar sekali dalam menjayakan matlamat dan objektif kurikulum Pendidikan Seni Visual. Berdasarkan kepada domain- domain ini, saya akan membincangkan secara terperinci dan membuat perkaitan secara komprehensif dengan matlamat dan objektif kurikulum Pendidikan Seni Visual  sekolah rendah. Di samping itu, disertakan contoh- contoh gambar semasa proses kerja dalam bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan iaitu aktiviti menyediakan kad ucapan oleh murid tahun empat di sekolah saya bagi menyokong kajian yang saya jalankan.  

Domain Kognitif dalam Pendidikan Seni Visual
Dalam Pendidikan Seni Visual, domain kognitif ini sebenarnya mempunyai hubungan dengan kemampuan seseorang murid itu berfikir termasuk kemampuan memahami, menghafal, mengaplikasi dan menganalsis. Menurut Taksonomi Bloom (Sax 1980), kemampuan kognitif adalah kemampuan berfikir secara hirarki yang terdiri dari pengetahuan, pemahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan evaluasi.
Penghasilan lukisan oleh murid- murid di sekolah rendah mempunyai interpretasi yang berbeza dengan yang dihasilkan oleh orang dewasa. Bagi mereka, hasil seni yang dihasilkan lebih berupa kepada hasil luahan dan expresif. Di sekolah rendah, hasil seni yang dihasilkan oleh kanak- kanak dapat digunakan untuk melihat bagaimana caranya mereka berfikir dan menyelami perasaan mereka selain melihat dan menguji keupayaan perkembangan kognitif mereka.
Jika kita lihat contoh aktiviti dalam membentuk dan membuat binaan iaiatu aktiviti mebina kad ucapan, jelas menunjukkan bahawa murid- murid dapat mengaplikasikan apa yang telah difahami dalam menghasilkan kad ucapan dengan menwarna kad tersebut. Murid mampu berfikir tentang proses kerja seterusnya sehinggalah terhasilnya sebuah kad ucapan yang indah dan kreatif berdasarkan kemampuan kognitif mereka sendiri. Ini menunjukkan bahawa, aktiviti- aktiviti seni yang tersusun dan terancang dapat melahirkan murid yang mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah. Selain daripada itu, mereka juga akan mampu untuk membuat penilaian dan bijak membuat keputusan.
Perkembangan domain kognitif dalam proses kerja murid dalam menghasilkan karya seni adalah selaras dengan matlamat membentuk generasi Malaysia yang imaginatif, inovatif dan inventif. Dengan penghasilan karya- karya seni, murid dapat menghargai keindahan alam sekitar, rasa kesyukuran kepada Tuhan di atas seni yang dihasilkan dan meningkatkan keindahan seni yang dapat menyumbang kepada pembangunan diri seperti yang dinyatakan dalam objektif kurikulum pendidikan seni visual sekolah rendah yang ketiga iaitu meningkatkan pengetahuan, daya kreativiti, inovasi, disiplin serta kemahiran dalam bidang seni visual yang dapat diamalkan dalam kehidupan dan kerjaya.
Domain Psikomotor dalam Pendidikan Seni Visual
Domain psikomotor dalam Pendidikan Seni Visual adalah merujuk kepada ketrampilan dan kemampuan seseorang kanak- kanak itu bertindak setelah menerima pengalaman belajar. Dalam mata pelajaran pendidikan seni visual, kanak- kanak diajar untuk mengawal dan melatih psikomotor mereka dalam menghasilkan karya seni. Ini kita dapat lihat dalam aktiviti seni dalam bidang yang diajar seperti aktiviti melukis, menganyam, membentuk dan membuat binaan, membuat corak dan pelbagai lagi.
Aktiviti- aktiviti seni dalam ke empat- empat bidang banyak menggunakan psikomotor dalam penghasilan seni. Kita ambil contoh aktiviti membina kad ucapan. Melukis pada kad dengan teknik tulisan yang pelbagai dan dilukis berbunga adalah menunjukkan perkembangan Psikomotor yang positif. Menurut Ibrahim Hassan (2001) Pendidikan Seni Visual sekolah rendah memupuk pertumbuhan kemahiran dalam pergerakan atau gerak balas yang boleh terbentuk melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan meningkatkan kualiti koordinasi antara mata, tangan, otot dan mental.
Domain Psikomotor ini adalah selaras dengan matlamat Pendidikan Seni Visual ke arah pembangunan diri dan objektif Pendidikan Seni Visual yang ke empat iaitu menggunakan pelbagai kemahiran, media, teknik dan teknologi untuk mereka cipta barangan kraf dan produk seni visual yang berkualiti. Kemahiran psikomotor yang ditunjukkan dalam gambar 2 jelas terbukti menunjukkan perkembangan kecergasan, bersedia menjalankan amalan menggunakan masa lapang secara berfaedah, memperolehi kemahiran-kemahiran asas praktik dalam kehidupan seharian dan mempunyai asas kemahiran vokasional.
Domain Afektif dalam Pendidikan Seni Visual
Domain afektif merupakan sesuatu yang berkaitan dengan sikap dan nilai. Dalam Pendidikan Seni Visual, aspek afektif ini mencakupi perasaan, minat, sikap, emosi dan nilai. Dalam penghasilan karya, murid di sekolah rendah tidak kira peringkat umur akan mempunyai perasaan terhadap sesuatu yang ingin dihasilkan. Minat akan menjadi fokus utama jenis karya yang bakal dihasilkan. Manakala emosi pula banyak mempengaruhi semasa proses kerja karya tersebut dan nilai yang dapat ditunjukkan adalah nilai menghargai warisan, sahsiah yang baik dan rasa kesyukuran. Ini jelas menunjukkan bahawa domain afektif ini menekankan kepada kepentingan emosi dan perasaan.
Justeru itu, seseorang murid yang mempunyai domain afektif yang tinggi dalam Pendidikan Seni Visual akan dapat dilihat menerusi berbagai tingkah laku. Antaranya adalah seperti, pemerhatian murid tersebut terhadap mata pelajaran Pendidikan Seni Visual, disiplinnya dalam menyediakan bahan seni yang diperlukan, mempunyai motivasi yang tinggi terhadap mata pelajaran seni  dan penghargaan terhadap alam sekitar dan kesyukuran ditunjukkan dalam karya yang dihasilkan.  Fokus utama murid-murid dalam aktiviti- aktiviti seni adalah meluahkan perasaan dalam karya dan memiliki motivasi yang sangat tinggi sehingga tumpuan diberikan seratus peratus terhadap karya yang ingin dihasilkan. Ini mempunyai perkaitan dengan matlamat Pendidikan Seni Visual iaitu menghargai keindahan seni dan objektif kurikulum Pendidikan Seni Visual menunjukkan penghargaan terhadap keindahan dan menjadikan bidang seni visual sebagai prospek kerjaya.
Domain Kreativiti dalam Pendidikan Seni Visual
Dalam Pendidikan Seni Visual, domain kreativiti pula merujuk kepada proses yang berterusan dalam menghasilkan sesuatu yang baru dan asli. Murid- murid sekolah rendah mempunyai nilai imaginatif yang tinggi tidak kiralah murid tersebut di tahap satu mahupun di tahap dua. Masing- masing akan mempunyai kreativiti yang berbeza dalam meluahkan penghasilan seni. Ini bermakna dalam pendidikan seni visual, murid- murid mampu berfikir dengan kreatif dan kritis dalam memperkembangkan hasil seni mereka.
Dalam Pendidikan Seni Visual, murid- murid di sekolah dapat melibatkan diri dengan pelbagai proses kerja seni yang banyak melibatkan aktiviti kreatif dan proses mengembangkan idea dalam diri mereka. Projek seperti membuat kad ucapan dari bidang membentuk dan membuat binaan dalam mata pelajaran pendidikan seni visual ini telah membantu murid ini mengembangkan domain kreativitinya.
Aktiviti memghasilkan kad ucapan seperti ini di dalam Pendidikan Seni Visual mengutamakan proses dan hasilan akhir. Oleh yang demikian, proses kerja ini menyuburkan budaya pemikiran kritikal murid di dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Selain itu, aktiviti pendidikan seni visual ini menggalakkan eksplorasi dan eksperimentasi agar murid mempunyai pengalaman luas dalam bidang penghasilan karya.  Pendidikan Seni Visual ini berupaya mengembangkan naluri ingin tahu secara eksplorasi menerusi deria. Pemikiran kreatif dan kritis akan terus dijana melalui ekspresi diri mereka.
Semua yang telah dibincangkan di atas dalam domain kreativiti adalah sejajar dengan matlamat Pendidikan Seni Visual dalam melahirkan generasi Malaysia yang imaginatif, kritis, kreatif, inovatif dan inventif. Melalui karya seni mereka, murid dapat berimaginasi, berfikir secata kreatif dan kritis, berdaya inovatif dalam menghasilkan karya ynag bermutu dan inventif.  Ini semua adalah sejajar dengan objektif ke tiga pendidikan seni visual iaitu meningkatkan pengetahuan, daya kreativiti, inovasi, disiplin serta kemahiran dalam bidang seni visual yang dapat diamalkan dalam kehidupan dan kerjaya.
Domain Sosial dalam Pendidikan Seni Visual
Dalam pendidikan seni visual, murid diberi peluang berinteraksi dan meningkatkan keupayaan bersosial. Interaksi dan keupayaan bersosial ini dapat meningkatkan keyakinan diri murid-murid.  Aktiviti pendidikan seni visual seperti ini memberikan peluang kepada murid untuk saling hormat- menghormati dan menjadi landasan untuk memupuk perasaan bertoleransi. Dalam domain sosial pendidikan seni visual, semangat berkerjasama di dalam aktiviti berkumpulan dapat dibentuk.
Perkembangan sosial murid- murid secara positif dapat dibentuk dengan perkongsian ilmu melalui gerak kerja berkumpulan dan apresiasi seni. Murid- murid bukan sahaja berkongsi idea malah dapat menambahbaik penghasilan seni mereka. Hubungan sosial yang dibentuk di antara rakan sebaya semasa proses kerja seni yang dijalankan secara tidak langsung dapat menyemai nilai menghormati, kerjasama dan saling bantu-membantu. Domain sosial ini adalah selaras dengan matlamat dan objektif pendidikan visual kearah melahirkan insan yang seimbang dan harmonis yang mempunyai nilai sosial yang tinggi sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara.

'Bahan Buangan' anda menceritakan apa yang and makan

Percaya atau tidak ?


Makanan yang kita makan boleh kita rahsiakan tetapi 'bahan buangan' atau lebih popular dengan sebutan 'najis' atau 'tahi' boleh menceritakan apa jenis makanan yang telah kita makan dan cara kita makan. Walaupun tiada orang yang mengetahui najis kita sendiri tapi jika kita berada di tandas awam.. lamanya kita berada di dalam tandas dan bau yang kita keluarkan pasti akan membuat kita terpaksa menahan tebal muka apabila kita keluar dan melihat ada orang yang sedang menunggu giliran untuk masuk...apatah lagi jika orang itu masuk sambil menutup hidung dan kelihatan nak termuntah. Oleh itu, adalah baiknya kita melihat sendiri sebelum mengepam tandas jenis 'najis' yang kita keluarkan bagi menjaga kesihatan kita. Lebih baik mencegah dari mengubati.

Jenis A : Ada cebisan makanan yang besar
Kalau najis anda jenis ini, bermakna anda adalah  orang yang suka makan dengan gelojah. Makanan anda tidak hadam. Ini bermakna anda lebih banyak menelan makanan sebelum sempat mengunyah  dengan sempurna. Kesannya, ada cebisan makanan seperti jagung, bijirin dan sebagainya pada najis anda. Bagi mencegah najis seperti ini, anda perlu mengunyah makanan anda dengan sempurna sebelum menelannya dan banyakkan meminum jus buah- buahan bagi membantu melancarkan sisitem penghadaman. 

Jenis B : Sangat berbau busuk
Jika kita mempunyai tabiat pemakanan yang baik dan sistem penghadaman yang sihat maka bahan buangan kita juga kurang berbau busuk. Orang yang suka mengambil banyak daging merah akan menyebabkan najisnya sangat kuat bau busuknya. Makanan yang kurang manis dan tinggi kandungan serat sangat sesuai bagi mereka yang mengeluarkan najis yang terlalu busuk.

Jenis C : Sembelit dan berketul- ketul
Seringkali orang yang mempunyai masalah sembelit akan bertapa lama di dalam tandas bagi berhempas pulas mengeluarkan najis yang keras dan berketul- ketul. Apakah maksudnya bila najis kita keras dan berketul ? Sebenarnya ini menandakan bahawa kita kurang minum air. Oleh itu, bagi mengelakkan sembelit anda perlu makan makanan yang tinggi magnesium seperti kuaci, bayam, sayur berdaun hijau, kacang soya dan banyakkan minum air.

Jenis D : Najis berdarah
Ini mungkin tanda awal buasir atau petanda awal kedatangan kanser seperti kanser perut, usus atau ulser perut. Jika terlalu kerap maka anda perlu berjumpa dengan doktor. Bertindak pantas dengan melakukan pemeriksaan doktor bagi mencegah ia menjadi lebih teruk lagi.

Jenis E : Cair
Najis jenis ini sukar untuk ditafsirkan. Selalunya mereka yang mengalami cirit- birit, sakit perut dan keracunan makanan akan mengeluarkan najis jenis ini. Anda perlu dapatkan pemeriksaan doktor.